Skip to content

Latest commit

 

History

History
224 lines (184 loc) · 12.3 KB

bawaku-terbang.md

File metadata and controls

224 lines (184 loc) · 12.3 KB

telefilem.md


PROPOSAL OLEH MAIZURA EDERIS - OLAHAN KETIGA - 18 FEB 2018
DISEDIAKAN UNTUK EXCELLENT PICTURES SDN BHD & NTV7

BAWA KU TERBANG

Idea Asal / Skrip : MAIZURA EDERIS
GENRE : Inspirasi - from zero to hero
TEMA : Man Vs. Himself (Self Discovery)

LOGLINE

Anak bongsu yang kaya, manja dan ketagih games, telah dicabar oleh seorang 'gamers' untuk menjadi juruterbang di dunia sebenar.

SINOPSIS

Am, anak bongsu, manja dan agak 'spoiled brat'. Arwah ayahnya bekas CFO bank yang kecil manakala arwah ibunya, surirumah. Abang-abangnya masing-masing mempunyai syarikat sendiri dalam bidang yang diminati. Didikan ibu bapa yang kurang tegas menjadikan Am malas. Keputusan SPM hanya cukup makan. Sebaik tamat SPM, Am bekerja di syarikat grafik milik salah seorang abangnya. Memandangkan dia adik bos, dia bekerja sambil lewa. Banyak masa dihabiskan dengan bermain 'computer games'. Kadang-kadang Am bermain pada waktu kerja. Abangnya pun pening kepala - tak tahu bagaimana hendak mengubah sikap Am dan ketagihannya pada permainan komputer.

Am meminati kebanyakan permainan kapalterbang dan bermain secara atas talian (online games). Sikap Am yang mudah emosi menyebabkan dia selalu bergaduh di alam maya iaitu di ruangan 'chat' - ketika berlumba dengan gamers lain. Suatu hari, Am bergaduh teruk dengan seorang gamer tentang selok belok penerbangan pesawat. Am cuba tunjuk bagus. Gamer itu cukup bengang dengan salah satu kata-kata Am lalu mencabar Am supaya menjadi juruterbang di dunia sebenar. Am yang emosi ketika itu, terus menyahut cabaran.

Am bersemangat mahu menyertai akademi penerbangan. Malangnya, akademi hanya menerima calon yang mendapat keputusan SPM yang bagus. Sekurangkurangnya kredit dalam enam matapelajaran termasuk Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Fizik. Sudah! Am tepuk dahi! Sedangkan di alam maya, gamer itu terus mencabar Am. Sehingga Am berkata pada dirinya, "ini tak boleh jadi.

Aku kena buat sesuatu!"

Am menduduki SPM sekali lagi. Abangnya gembira melihat perubahannya dan berjanji akan membiayai kos pengajian di akademi yang berjumlah RM300,000.00. Am bersemangat dengar janji itu. Dia menumpukan kepada matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Fizik. Model-model kapalterbang mula bergantungan dalam biliknya - sebagai pembakar semangat.

Keputusan SPM kali kedua melayakkan Am menyertai akademi. Am pun menuntut janji. Malang sekali, keadaan ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan syarikat abang-abangnya merosot dan harta peninggalan arwah ayah kehabisan.

Am kecewa tetapi tidak putus asa. Dia bertekad mahu masuk akademi melalui biasiswa syarikat penerbangan. Abang-abangnya menganggap usaha itu sia-sia. Dalam keadaan ekonomi begini, tidak banyak syarikat penerbangan yang menawarkan biasiswa. Jika ada pun, calon yang memohon ramai, pengambilan hanya sedikit dan ujian kemasukannya sangat susah.

Am tidak pedulikan kata-kata orang sekeliling. Dari masa ke semasa, Am meninjau tawaran-tawaran biasiswa kadet juruterbang secara online. Dia membuat permohonan melalui emel ke syarikat penerbangan. Kemudian, menelefon untuk bertanya perkembangan. Apabila tidak puas hati dengan jawapan yang diterima, dia pergi sendiri ke syarikat penerbangan untuk mendapat tahu dengan lebih jelas tentang status permohonannya. Sementara itu, Am membaca apa sahaja tentang penerbangan melalui buku dan internet.

Pada masa lapang, Am pergi ke lapangan terbang untuk melihat kapalterbang berlepas dan mendarat. Pada ketika, Am berjaya mengurangkan ketagihannya kepada permainan komputer. Namun, cabaran gamer itu tetap diingatinya sampai mati.

Am kemudiannya dipanggil ke beberapa temuduga tetapi semuanya gagal. Am mengkaji kesilapan-kesilapan dalam setiap sesi temuduga. Antaranya sikap gugup, blur, kurang keyakinan diri dan tidak bijak menjawab soalan yang 'tricky'. Am berusaha memperbaiki dirinya dari masa ke semasa. Am mula sedar yang dia bukan lah tidak pandai, cuma sebelum ini dia malas.

Am dipanggil lagi untuk temuduga. Kali ini, Am kelihatan lebih bersedia. Jika dilihat dari sudut psikologi, manusia yang tersepit pasti lebih tinggi akalnya mencari jalan. Baru Am sedar yang kehidupan sebagai anak orang kaya ketika ayah masih ada, membuatkannya tidak mencabar potensi diri sepenuhnya. Dia anak bongsu yang manja, sambil lewa dalam apa sahaja dan anggap hidup ini mudah kerana bapa ada harta dan abang-abang berjaya. Sekarang, Am nekad untuk berubah.

Berkat usaha bersungguh-sungguh, Am berjaya masuk ke akademi dengan tajaan penuh daripada syarikat penerbangan. Abang-abangnya ternganga tidak percaya manakala Am tidak boleh tidur malam kerana teruja. Pada hari melapor diri, Am tiba pada waktu pintu pagar akademi belum pun dibuka!

Pada hari pertama, Am diperkenalkan kepada jurulatih wanita, Kapten Hani dan kadet-kadet baharu yang lain. Mereka diberi taklimat tentang matapelajaran yang akan diambil seperti Radio Aids, Meteorology Theory, Meteorology Practical , Navigation, Instruments, Flight Planning dan Air Law. Mereka kemudian di bawa meninjau pelbagai kemudahan akademi dan dibawa ke asrama masing-masing.

Am mendapat satu bilik dengan Daniel, mat smart, Bangsar type, western educated, english speaking, muka k-pop. Am tercabar dengan kredibiliti Daniel. Terus rasa rendah diri. Apatah lagi Daniel memandang rendah kepada Am yang masuk akademi dengan penajaan, sedangkan Daniel masuk dengan duit sendiri.

Pada hari kedua, Am bertembung kadet senior, seorang perempuan . Namanya Julie. Wajahnya comel dan baby face. Perawakannya lemah lembut dan sopan santun. Dari segi luaran, Julie seperti tidak layak menjadi juruterbang. Sebaliknya lebih sesuai menjadi peramugari, penari atau secretary. Namun, Am mendapat tahu yang Julie adalah senior terbaik di akademi itu. Dan Julie sebenarnya adalah 'gamer' yang mencabarnya di alam maya!

Rupanya selama ini, Julie tidak puas hati dengan perdebatan di alam maya. Julie telah berusaha 'stalk' Am di alam nyata. Ini membuatkan Julie banyak mengetahui tentang latarbelakang Am terutama kes terpaksa mengulang SPM sematamata untuk masuk akdemi. Secara sinis, Julie mengucapkan tahniah kepada Am kerana berjaya masuk akademi. Tetapi Julie mengingatkan Am yang menerbangkan pesawat sebenar tidak semudah menerbangkan pesawat 'virtual' di atas talian. Julie sudah melaluinya selama setahun dan mahu tengok samada Am mampu melaluinya. Am membalas balik dengan berkata, "yakin boleh!"

Pada peringkat permulaan, kadet-kadet diberi pendedahan kepada teori penerbangan di dalam kelas. Kemudian, baharu lah mereka dibawa menaiki penerbangan yang pertama. Am pada mulanya seronok. Namun, apabila pesawat mula terbang, wajahnya berubah. Dia mula berasa mual. Melihat pelbagai butang pesawat di depannya, menambah pening. Am menyedari dia rupanya gayat! Am pun kembali ke darat dengan seribu satu macam perasaan - takut, seram, nak demam.

Sebaik tiba di darat, Am berlari ke bilik air dan muntah-muntah. Hal ini diketahui oleh kadet-kadet lain termasuk di kalangan senior. Julie pun mencari Am sematamata untuk ketawakan Am. Julia yakin Am tidak akan bertahan lama. Tanda-tanda kegagalan telah nampak.

Am mula menjadi lemah semangat. Kapten Hani membantu Am menghilangkan gayat itu dengan pelbagai cara. Antaranya dengan melatih minda supaya tenang bila berada di tempat tinggi, mengelak memandang ke bawah dan fokus kepada pandangan separas mata sahaja, membuang perasaan takut secara pendekatan psikologi dan membuat pelbagai aktiviti sampingan seperti rock-climbing.

Seterusnya, Am diberi tiga kali peluang untuk menerbangkan pesawat. Sekiranya dia masih gayat, Am akan dikeluarkan dari akademi. Julie sudah bersiap sedia untuk bertepuk tangan. Am pun berusaha keras. Akhirnya, Am berjaya menerbangkan pesawat dengan bimbingan Kapten Hani yang tenang dan memahami.

Am memasuki fasa seterusnya, mendapat jurulatih baharu dan pesawat lebih besar. Kapten Wan Shahrizal, jurulatih lelaki yang tegas dan garang. Dia sentiasa mengherdik Am setiap kali Am membuat kesilapan. Antara kesilapan Am adalah sukar menjawab radio call ketika sedang mengendalikan instrument di depannya, gagal mengawal ketinggian pesawat, tidak memerhati trafik di hadapan kerana terlalu sibuk melihat peralatan, memegang handle terlalu kuat sehingga penerbangan tidka stabil dan sebagainya.

Seterusnya, Am ditugaskan menjaga bilik kawalan pada hari minggu. Antara tugas kadet di bilik kawalan itu ialah memesan minyak, memantau jumlah pesawat di darat, jumlah yang sedang terbang dan berapa jam penerbangan yang telah dibuat oleh setiap pesawat pada hari itu. Am yang tertekan dengan prestasi penerbangannya, terlupa memesan minyak. Ini menyebabkan lori minyak tidak datang dan semua kadet tidak boleh membuat penerbangan. Kapten Wan menengking Am kerana lalai. Semua kadet termasuk Daniel telah memboikot Am. Di belakang, Julie bertepuk tangan.

Insiden ini menyebabkan Am berfikir panjang tentang dirinya. Kes lalai dan ditengking ini adalah perkara biasa ketika dia bertugas di syarikat abangnya. Namun, disebabkan darah daging, tidak mungkin dia dipecat. Kini, kelalaian sebesar kuman pun boleh menyebabkan dia dibuang akademi. Am tersedar yang masalah utama bukan lah Julie, tetapi dirinya sendiri. Sikap sambil lewa dan ambil mudah telah memberi kesan kepada kehidupan malangnya selama ini. Sedangkan Julie hanya lah pencetus kepada perubahan. Mulai titik ini, Am pun berazam untuk berusaha lebih keras, berdisplin, serius dan komited. Ini sukar untuknya kerana ia melibatkan perubahan tabit seharian.

B-Story/Sub-plot (persahabatan/brotherhood)

Sementara itu, Daniel sering keluar malam, bangun lewat dan terlepas sesi latihan penerbangan. Am menegurnya tetapi dibalas dengan penghinaan kerana prestasi Daniel di akademi adalah lebih baik dari Am. Daniel tidak pernah peduli untuk membantu kelemahan Am walaupun mereka satu bilik.

Suatu hari, Daniel mengalami kemalangan jalan raya ketika keluar malam dengan kadet yang mabuk (bukan Islam). Kecederaan Daniel memberi kesan kepada persediaan penerbangannya. Biarpun pernah dimarahi dan dipandang rendah oleh Daniel, Am tetap membantu Daniel membuat persediaan penerbangan. Daniel kemidiannya sedar yang dia telah salah memilih kawan. Setelah sembuh, Daniel pula membantu Am dalam memahami matapelajaran yang mencabar. Setelah lama tinggal sebilik, baharu lah mereka saling berkenalan dan seterusnya bersahabat.

C-Story/Sub sub plot (isu kewanitaan)

Kapten Wan terus 'membuli' Am dengan pelbagai latihan yang keras dan ketat. Am teringatkan Kapten Hani yang tenang dan berperawakan seperti ibu yang penyayang. Am bertemu Kapten Hani untuk mendapatkan dorongan. Am mendapati Kapten Hani sentiasa berusaha menambah kemasukan kadet wanita dan meningkatkan prestasi kadet wanita - yang merupakan golongan minoriti di akademi.

Salah seorang kadet yang disayangi oleh Kapten Hani ialah Julie. Tanpa mengetahui krisis di antara Am dan Julie, Kapten Hani sering memjadikan Julie sebagai contoh. Melalui kapten Hani, Am melihat kegigihan Julie melalui hari-hari terakhirnya di akademi. Julie cedera tulang belakang ketika bermain bola jaring dengan kadet-kadet wanita. Tetapi Julie tidak menjadikan kecederaan itu sebagai penghalang untuk lulus dengan cemerlang. Am mula 'skodeng' aktiviti Julie dan mendapati Julie tidak lah seteruk yang disangka.

Am mengimbas semula pergaduhannya dengan Julie di alam maya. Baharu Am sedar yang cabaran Julie itu berpunca dari sifat bongkaknya semasa ketagihan permainan komputer. Ketika itu, Am berasa dunia ini dia yang punya. Dia tidak perlu bekerja keras seperti orang lain kerana dia boleh dapat apa sahaja yang dia mahu.

Hanya setelah harta pusaka ayahnya habis akibat kemerosotan ekonomi dan abangnya tidak mahu lagi menyara dia, baharu lah Am sedar diri. Pada hari pentauliahan Julie sebagai juruterbang, Am pergi berjumpa Julie dan mengucapkan terima kasih. Julie terpinga-pinga. Kata Am, kalau tidak kerana cabaran Julie, dia mungkin menjadi 'computer addict' sampai bila-bila. Julie sekadar senyum dan meninggalkan akademi.

Setatahun kemudian....
Am membuat penerbangan solo. Ketika pesawat berlepas, Am sangat teruja. Tetapi setelah sedar Kapten Wan tiada di sisi, Am mula cemas dan membuat pendaratan dengan segera dan membahayakan kerana tidak yakin. Am dipanggil ke bilik Chief Instructor untuk diberi amaran.

Bagaimanapun, penerbangan solo yang kedua dan seterusnya, berjalan lancar. Am akhirnya menerima tauliah sebagai juruterbang dan meraikan kejayaan itu bersama dengan abang-abangnya.

TAMAT